Selasa, 5 Februari 2013

SARAWAK PENYUMBANG UTAMA PERTUMBUHAN NEGARA





KUALA LUMPUR 14 Jan. - Sarawak semakin menjadi tumpuan bagi pembangunan ekonomi utama yang meningkatkan lagi peranannya sebagai satu daripada penyumbang utama kepada pertumbuhan negara, kata firma penyelidikan Kenangan Research.

Firma itu berkata, Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE) muncul sebagai satu daripada projek paling penting di rantau ini. Projek-projek di bawah SCORE dijangka mengubah negeri dan negara menjadi sebuah negara maju, kata firma itu dalam satu laporan analisis hari ini.
"Dengan SCORE memacu ekonomi Sarawak, negeri itu menyasar mencapai pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sehingga 10 peratus menjelang 2015 berbanding di bawah lima peratus tanpanya.

"Pada kadar kemajuan yang dicatatkan ekonomi Sarawak sekarang, negeri itu boleh menjadi antara tiga penyumbang terbesar kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia dalam tempoh beberapa tahun akan datang," kata firma itu.

Kenanga Research berkata, sumbangan negeri itu kepada jumlah KDNK Malaysia dijangka meningkat kepada lebih sedikit daripada 10 peratus daripada 7.5 hingga lapan peratus sekarang.
Sarawak bergerak ke arah hala tuju yang betul kerana tidak lama lagi ia akan mencapai paras separuh jalan daripada Rancangan Malaysia Ke-10 selama lima tahun yang bermula pada 2010.
Peruntukan bajet di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 disalurkan untuk menambah baik prasarana, terutamanya pengangkutan, menguruskan perbandaran dan membangunkan Sarawak menjadi hab pembangunan tenaga.

"Dengan SCORE, kami percaya Sarawak akan mengatasi pertumbuhan sebanyak lima hingga enam peratus menjelang 2015, kemungkinan mengatasi unjuran purata enam peratus pertumbuhan negara," kata firma penyelidikan itu. - BERNAMA



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20130115/ek_05/Sarawak-bakal-muncul-penyumbang-utama-pertumbuhan-negara#ixzz2JzFs7BoE
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan