Jumaat, 3 April 2015

KWSP UMUM SENARAI DANA UNIT AMANAH UNTUK 2015/2016


Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini mengumumkan senarai Institusi Pengurusan Dana (IPD) dan unit amanah bagi tahun 2015/2016 untuk Skim Pelaburan Ahli KWSP (SPA-KWSP) untuk tempoh 1 April 2015 hingga 31 Mac 2016.

 

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pelaburan) KWSP Mohamad Nasir Ab Latif berkata, “Senarai dana unit amanah di bawah skim SPA-KWSP ini disemak setiap tahun berdasarkan kriteria penilaian yang memberikan fokus terhadap prestasi dana secara konsisten seperti yang diluluskan oleh Kementerian Kewangan.

 

“Kaedah penilaian untuk kelayakan, penggantungan dan kemasukan semula dana adalah berdasarkan pengukuran kuantitatif yang telus dan jelas. Mana-mana dana unit amanah yang tidak menepati kriteria minimum penilaian tahunan akan digantung perlantikan sehingga mereka memenuhi kehendak yang telah digariskan.” 

 

Untuk tempoh 2015/2016, sebanyak 216 dana unit amanah dari 21 IPD layak untuk ditawarkan berbanding 230 dana unit amanah untuk tempoh 2014/2015 seperti di bawah:

 

 


Untuk mendapatkan senarai penuh dana yang ditawarkan di bawah setiap IPD yang dilantik, ahli  boleh  merujuk  kepada :


Di bawah SPA-KWSP, ahli boleh memindahkan sebahagian simpanan dalam Akaun 1 untuk pelaburan dana unit amanah yang diluluskan melalui IPD, seterusnya memberikan pilihan kepada ahli untuk menambah simpanan persaraan mereka. Di bawah skim ini, ahli boleh memindahkan simpanan mereka tidak melebihi 20 peratus setiap tiga bulan daripada jumlah simpanan dalam Akaun 1 yang melebihi Simpanan Asas.

                                          

Simpanan Asas merujuk kepada jumlah simpanan mengikut umur untuk memastikan ahli mempunyai jumlah simpanan sekurang-kurangnya RM196,800 apabila mencapai umur 55 tahun.

 

Walaupun ahli dibekalkan dengan senarai dana unit amanah yang memberikan pulangan secara konsisten di bawah skim SPA-KWSP, adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk membuat keputusan berpandukan risiko dan objektif pelaburan serta tahap keselesaan mereka dengan kaedah pelaburan IPD tersebut.

 

Ahli disarankan untuk memahami objektif skim tersebut dan mendapatkan nasihat daripada penasihat kewangan yang bertauliah sebelum menyertai skim ini.

 

“Kami ingin menekankan walaupun KWSP meluluskan dana-dana di bawah SPA-KWSP, ini tidak bermakna KWSP mencadangkan atau memberikan jaminan terhadap prestasi mereka.

 

“Tiada jaminan bahawa pelaburan mereka akan sentiasa menguntungkan atau memberikan pulangan. Ahli sentiasa mempunyai pilihan untuk terus menyimpan simpanan persaraan mereka dengan KWSP yang memberikan pulangan stabil setiap tahun dan telah mengisytiharkan kadar dividen sebanyak 6.75 peratus untuk 2014,” kata Mohamad Nasir.

 

Beliau menambah bahawa KWSP akan mengambil tindakan tehadap mana-mana IPD yang tidak menepati garis panduan dan syarat-syarat SPA-KWSP, termasuk memberikan amaran, mengenakan denda dan di dalam keadaan tertentu, akan menggantung perlantikan mereka.

 

Sebagai pemegang amanah SPA-KWSP dan bagi memelihara simpanan persaraan ahli, KWSP menyarankan IPD untuk menjalankan perniagaan mereka dengan integriti, berkebolehan di samping menyediakan unit amanah yang berkualiti dan mempunyai rekod pencapaian yang konsisten.

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah dana simpanan persaraan terulung di Malaysia yang menyediakan jaminan asas kewangan bagi persaraan. KWSP sentiasa komited dalam menjamin dan meningkatkan simpanan ahlinya melalui amalan terbaik pelaburan dan tadbir urus korporat. Langkah berhemah sentiasa menjadi panduan dalam setiap keputusan pelaburannya.

 

Sebagai sebuah organisasi yang berfokuskan pelanggan, KWSP memberikan perkhidmatan yang cekap dan berkesan untuk keselesaan ahli dan majikan berdaftar.

 

KWSP akan terus memainkan peranannya sebagai pemangkin kepada pembangunan ekonomi negara, selaras dengan kedudukannya sebagai institusi simpanan terkemuka di Malaysia.