Jumaat, 14 Jun 2013

BAGAIMANA MEMBINA PORTFOLIO PELABURAN



Ramai orang yang hilang minat apabila mendengar perkataan ‘portfolio’ kerana menganggap ianya sesuatu yang rumit dan hanya diperlukan oleh golongan kaya ataupun pakar kewangan sahaja. Hakikatnya, portfolio pelaburan hanyalah suatu rekod yang menunjukkan bagaimana anda membahagikan wang anda dalam kategori-kategori aset yang berlainan. Dengan adanya portfolio pelaburan, anda akan mempunyai cara yang lebih teratur dalam menentukan prestasi kewangan anda untuk memastikan  hala tuju kewangan yang tepat .

Berikut adalah 3 Langkah Mudah Untuk Membina Portfolio Pelaburan

Langkah 1: Tetapkan Matlamat Kewangan Anda
Sebelum membina portfolio pelaburan, pastikan anda menetapkan matlamat kewangan anda terlebih dahulu. Contoh-contoh matlamat kewangan termasuklah menabung untuk persaraan awal, menabung untuk  pendidikan anak-anak ataupun untuk membeli hartanah dan sebagainya.

Langkah 2: Pengurusan Kewangan
Setelah menetapkan matlamat kewangan, kenal pasti berapa jumlah wang yang anda ada. Anda perlu memperuntukkan sejumlah wang untuk keperluan jangka masa pendek dan wang yang secukupnya untuk saat-saat kecemasan. Jumlah yang diperuntukkan sebaik-baiknya menyamai perbelanjaan anda untuk 3 hingga 6 bulan.

Langkah 3: 1, 2, Mula!
Selepas membuat langkah 1 dan 2, anda kini sudah bersedia untuk memulakan pengembaraan anda dalam dunia pelaburan. Selain wang yang ada, anda seharusnya merancang untuk melabur sebahagian daripada gaji bulanan anda. Di sini pakar-pakar kewangan menasihatkan anda melabur lebih kurang 10%-20% daripada gaji anda sebulan.

Pilihan pelaburan anda
Terdapat pelbagai produk pelaburan di pasaran untuk disesuaikan dengan  tahap risiko dan pulangan anda. Pelaburan yang berisiko rendah seperti sijil deposit bank menawarkan pulangan yang rendah. Pelaburan dalam hartanah pula menawarkan pulangan tinggi dengan  risiko yang sama tinggi dan tahap kecairan yang rendah. Walaupun pilihan produk pelaburan bergantung sepenuhnya kepada keperluan individu dan ufuk pelaburan, kombinasi pelaburan dalam portfolio anda perlu mengimbangkan risiko yang boleh ditanggung dan pulangan yang diharapkan.  Menyimpan kesemua wang anda dalam deposit bank sememangnya selamat, tetapi pulangannya juga rendah, malah kadang-kala pulangannya adalah negatif apabila kadar faedah yang ditawarkan  lebih rendah daripada kadar inflasi. Menurut prestasi yang lampau,  pelaburan saham boleh memberikan pulangan 10% dalam jangka masa panjang degan tahap risiko yang sederhana. Oleh kerana ramai orang yang biasa dengan pelaburan saham dan tidak sukar untuk mula melabur dalamnya, ia adalah pelaburan yang sangat sesuai untuk jangka masa sederhana dan panjang.

Jangan lupa untuk mempelbagaikan pelaburan
Satu aspek penting dalam membina portfolio ialah pempelbagaian, maka elakkan daripada melabur kesemua wang anda dalam satu pelaburan sahaja. Jika anda melabur wang anda dalam saham satu syarikat sahaja, anda akan kehilangan kesemua wang anda sekiranya sesuatu yang tidak diingini berlaku kepada syarikat tersebut. Ini lazimnya berlaku di kalangan pekerja sesuatu syarikat dimana pekerja-pekerja lazim melaburkan kesemua wang mereka dalam saham syarikat majikan mereka. Bayangkan sekiranya syarikat tersebut menjadi muflis, mereka bukan sahaja akan kehilangan kerja, malah akan turut kehilangan wang yang telah dilaburkan dalam saham syarikat tersebut. Dengan mempelbagaikan pelaburan dalam beberapa industri dan syarikat, anda mengurangkan risiko kehilangan wang anda. Ini kerana, kerugian yang dialami dalam satu syarikat diimbangkan oleh keuntungan dalam syarikat lain.

Unit Amanah sebagai pilihan pelaburan
Jika anda mempunyai wang yang terhad atau ini merupakan kali pertama anda melabur, mungkin anda ingin bermula dengan dana unit amanah. Ini kerana ia menawarkan kepelbagaian dan anda juga tidak perlu berhempas- pulas membuat kajian untuk menentukan syarikat mana yang sesuai untuk anda melabur. Oleh kerana anda tidak perlu bersusah-payah, maka anda akan dikenakan yuran pengurusan oleh syarikat pengurus dana. Dengan dana unit amanah, anda juga berpeluang untuk mempelbagaikan lagi pelaburan anda dengan memilih jenis dana, sama ada dana pertumbuhan, dana ekuiti atau dana bon. Ini membolehkan anda melabur dalam pelbagai segmen pasaran. Satu perkara penting dalam memilih dana unit amanah ialah anda perlu membaca prospektus dan kandungannya dengan teliti kerana ia menawarkan maklumat yang penting dalam memahami prestasi dana tersebut sebelum anda melabur. Pastikan anda benar-benar faham tentang gajaran dan risiko pelaburan unit amanah sebelum memulakan pelaburan.

Awasi Portfolio Pelaburan Anda
Jangan fikir bahawa tugas anda telah selesai setelah anda membina portfolio anda. Anda perlu terus mengawasi prestasi dan menilai semula kombinasi pelaburan anda berdasarkan tahap kehidupan, masa dan apabila situasi berubah. Anda perlu mengubah pegangan portfolio anda untuk memenuhi keperluan anda. Anda perlu melakukan perkara ini secara berterusan selagi mana anda melabur. Dengan disiplin dan strategi pelaburan yang sesuai, portfolio pelaburan anda akan membantu anda mencapai matlamat kewangan anda yang dahulunya mungkin satu matlamat yang sukar dikecapi.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan