KUALA LUMPUR 3 Feb. - Ringgit dijangka turun berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan berikutan sentimen pasaran yang menurun di seluruh dunia dan kekurangan permintaan komersial mendapatkan mata wang domestik itu, kata para peniaga. Mereka berkata, cuti Tahun Baru Cina akan datang, yang bermula pada akhir minggu depan, dijangka memberikan isyarat minggu dagangan yang lengang apabila kebanyakan pedagang telah pergi bercuti.
Bagi minggu baru berakhir, Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman pada kadar 3.0 bagi minggu ke-10 berturut-turut. BNM berkata, kedudukan semasa dasar monetari menyokong ekonomi, manakala inflasi terus terkawal.
Pada Disember, BNM juga menyatakan bahawa ringgit merosot berbanding kebanyakan rakan dagangan utama Malaysia, iaitu dolar AS, euro, renminbi China dan dolar Singapura tetapi meningkat berbanding yen Jepun.
Katanya, penurunan ringgit berbanding dolar AS adalah berikutan peningkatan kebimbangan terhadap prospek pertumbuhan global, yang timbul dari peningkatan ketidaktentuan yang menyelubungi kedudukan fiskal AS.
Ini mendorong kepada pengeluaran dana oleh para pelabur asing dari ekonomi yang berkembang pesat, yang termasuk Malaysia, apabila para pelabur mengkaji semula kedudukan masing-masing.
Bagi minggu baru berakhir, ringgit diniagakan lebih rendah bagi tiga hari berturut-turut apabila para pelabur terus berada di luar pasaran berikutan sentimen pasaran yang menurun.
Isnin dan Jumaat ditutup masing-masing bagi menggantikan cuti perayaan Thaipusam dan cuti Hari Wilayah Persekutuan. Berasaskan minggu ke minggu, ringgit ditutup turun kepada 3.1045/1065 berbanding dolar AS berbanding 3.0440/0460 pada Jumaat lepas. - BERNAMA
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20130204/ek_03/Ringgit-dijangka-turun-berbanding-dolar-Amerika-Syarikat#ixzz2K501AK10
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan