KWSP TETAPKAN RM228,000 SASARAN SIMPANAN MINIMUM UMUR 55 TAHUN
Kuantum
Baharu Simpanan Asas Bermula Januari 2017
KUALA LUMPUR, 30 September 2016: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja
(KWSP) hari ini mengumumkan bahawa kuantum baharu Simpanan Asas akan dinaikkan
daripada RM196,800 kepada RM228,000 bermula 1 Januari 2017. Jumlah ini akan
ditetapkan sebagai jumlah sasaran simpanan minimum ahli perlu ada apabila
mencecah umur 55 tahun.
Simpanan Asas merujuk kepada jumlah simpanan yang mencukupi
untuk menampung kos persaraan asas apabila mencapai umur 55 tahun. Kuantum
baharu ini (rujuk Jadual 1) ditanda aras dengan kadar pencen minimum pekerja
sektor awam yang telah dinaikkan dari RM820 kepada RM950 sebulan dari umur 55
hingga 75 tahun.
Ketua Jabatan Hal Ehwal Korporat KWSP Nurini Kassim berkata,
“Kuantum Simpanan Asas ini disemak secara berkala berdasarkan kadar pencen
minimum pekerja sektor awam setiap tiga tahun atau yang mana terdahulu. Semakan
kali terakhir telah dibuat pada 2014. Dengan mengambil kira faktor kenaikan kos
sara hidup, jangka hayat yang semakin panjang dan peningkatan kadar inflasi,
KWSP mengambil keputusan untuk menaikkan Simpanan Asas RM228,000 dari RM196,800.
“Semakan semula Simpanan Asas ini memerlukan ahli untuk
mempunyai simpanan yang lebih tinggi dalam akaun KWSP untuk membolehkan mereka
layak menyertai skim SPA-KWSP. Skim ini memberikan ahli pilihan untuk
meningkatkan simpanan persaraan mereka melalui pemindahan sebahagian simpanan
dari Akaun 1 untuk dilaburkan dalam dana unit amanah atau mandat peribadi oleh
Institusi Pelaburan Dana (IPD) yang dilantik di bawah SPA-KWSP.”
Nurini menerangkan bahawa Simpanan Asas ini digunakan sebagai
panduan kepada ahli untuk menentukan jumlah yang boleh dipindahkan untuk
pelaburan di bawah skim ini.
Bermula 1 Januari 2017, jumlah simpanan yang layak dilaburkan di
bawah SPA-KWSP dinaikkan tidak melebihi 30 peratus melebihi Simpanan Asas dalam
Akaun 1 dari kadar semasa 20 peratus.
“Sebelum menyertai skim ini, ahli perlu rujuk kepada prospektus
dan dokumen pendedahan untuk memahami produk pelaburan serta digalakkan
berunding dengan penasihat kewangan terlebih dahulu. Ahli yang mempunyai
i-Akaun juga boleh rujuk kepada Portal Informasi SPA-KWSP untuk mendapatkan
maklumat lanjut mengenai dana unit amanah di bawah skim ini serta IPD yang
mengurus dana-dana tersebut,” kata Nurini.