Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini menerbitkan senarai Institusi Pengurusan Dana (IPD) dan dana unit amanah bagi tahun 2013/2014 untuk Skim Pelaburan Ahli KWSP (SPA-KWSP), berkuatkuasa untuk tempoh 1 April 2013 hingga 31 Mac 2014.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP Encik Nik Affendi Jaafar berkata, “Untuk manfaat ahli yang menyertai skim tersebut, senarai dana di bawah SPA-KWSP dikaji semula setiap tahun berdasarkan satu set kriteria penilaian untuk kelayakan, penggantungan dan kemasukan semula dana seperti yang diluluskan oleh Kementerian Kewangan. Proses ini dijalankan bersama dengan Persekutuan Pengurus-Pengurus Pelaburan Malaysia (FiMM) yang mewakili industri unit amanah.”
Kaedah penilaian yang telus dan menidakkan sebarang keraguan telah dipertingkatkan untuk tahun 2013/2014 dan ia berdasarkan pengukuran kuantitatif seperti pengiraan oleh FiMM dan KWSP. “Ia adalah untuk kepentingan ahli dan memberikan keyakinan kepada mereka bahawa dana yang ditawarkan di bawah skim ini memiliki rekod prestasi yang konsisten,” kata Nik Affendi.
Bagi tempoh 2013/2014, sejumlah 206 dana unit amanah daripada 25 IPD layak ditawarkan di bawah SPA-KWSP, berbanding 218 dana pada tahun 2012/2013. (Sila lihat jadual di bawah)
Kategori | Dana yang layak untuk tahun 2013/2014 | IPD Mengambil Bahagian |
Ekuiti | 96 | 21 |
Seimbang/Aset Bercampur-campur | 50 | 19 |
Bon | 28 | 15 |
Pasaran Wang | 31 | 19 |
Amanah Harta | 1 | 1 |
Jumlah | 206 |
“Walaupun ahli diberikan peluang untuk meningkatkan simpanan persaraan melalui skim ini, KWSP mencadangkan ahli perlu mengkaji sendiri prospektus dana secara terperinci dan menilai merit serta mengenal pasti risiko yang terlibat sebelum membuat keputusan untuk mengambil bahagian,” kata beliau. Ahli diingatkan adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk membuat keputusan sendiri berdasarkan selera risiko dan objektif pelaburan mereka serta keyakinan terhadap pendekatan pelaburan pengurus dana yang dilantik.
“Ahli perlu mendapatkan nasihat professional daripada penasihat atau perancang kewangan yang berkelayakan atau boleh terus menyimpan di KWSP yang memberikan pulangan konsisten yang telah membayar dividen 6.15 peratus untuk 2012,” kata Nik Affendi.
Di bawah SPA-KWSP, ahli boleh mengeluarkan pada setiap tiga bulan tidak melebihi 20 peratus daripada jumlah simpanan mereka dalam Akaun 1 yang melebihi ‘Simpanan Asas’. ‘Simpanan Asas’ adalah satu jumlah simpanan dalam Akaun 1 yang ditetapkan mengikut peringkat umur bagi membolehkan ahli mengumpul simpanan minimum RM120,000 apabila mencapai umur 55 tahun.
Tarikh: 18 Mac 2013