Ahad, 6 November 2016

KWSP TETAPKAN RM228,000 SASARAN SIMPANAN MINIMUM UMUR 55 TAHUN

KWSP TETAPKAN RM228,000 SASARAN SIMPANAN MINIMUM UMUR 55 TAHUN

Kuantum Baharu Simpanan Asas Bermula Januari 2017
KUALA LUMPUR, 30 September 2016: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini mengumumkan bahawa kuantum baharu Simpanan Asas akan dinaikkan daripada RM196,800 kepada RM228,000 bermula 1 Januari 2017. Jumlah ini akan ditetapkan sebagai jumlah sasaran simpanan minimum ahli perlu ada apabila mencecah umur 55 tahun.
Simpanan Asas merujuk kepada jumlah simpanan yang mencukupi untuk menampung kos persaraan asas apabila mencapai umur 55 tahun. Kuantum baharu ini (rujuk Jadual 1) ditanda aras dengan kadar pencen minimum pekerja sektor awam yang telah dinaikkan dari RM820 kepada RM950 sebulan dari umur 55 hingga 75 tahun.
Ketua Jabatan Hal Ehwal Korporat KWSP Nurini Kassim berkata, “Kuantum Simpanan Asas ini disemak secara berkala berdasarkan kadar pencen minimum pekerja sektor awam setiap tiga tahun atau yang mana terdahulu. Semakan kali terakhir telah dibuat pada 2014. Dengan mengambil kira faktor kenaikan kos sara hidup, jangka hayat yang semakin panjang dan peningkatan kadar inflasi, KWSP mengambil keputusan untuk menaikkan Simpanan Asas RM228,000 dari RM196,800.
“Semakan semula Simpanan Asas ini memerlukan ahli untuk mempunyai simpanan yang lebih tinggi dalam akaun KWSP untuk membolehkan mereka layak menyertai skim SPA-KWSP. Skim ini memberikan ahli pilihan untuk meningkatkan simpanan persaraan mereka melalui pemindahan sebahagian simpanan dari Akaun 1 untuk dilaburkan dalam dana unit amanah atau mandat peribadi oleh Institusi Pelaburan Dana (IPD) yang dilantik di bawah SPA-KWSP.”
Nurini menerangkan bahawa Simpanan Asas ini digunakan sebagai panduan kepada ahli untuk menentukan jumlah yang boleh dipindahkan untuk pelaburan di bawah skim ini.
Bermula 1 Januari 2017, jumlah simpanan yang layak dilaburkan di bawah SPA-KWSP dinaikkan tidak melebihi 30 peratus melebihi Simpanan Asas dalam Akaun 1 dari kadar semasa 20 peratus.
“Sebelum menyertai skim ini, ahli perlu rujuk kepada prospektus dan dokumen pendedahan untuk memahami produk pelaburan serta digalakkan berunding dengan penasihat kewangan terlebih dahulu. Ahli yang mempunyai i-Akaun juga boleh rujuk kepada Portal Informasi SPA-KWSP untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai dana unit amanah di bawah skim ini serta IPD yang mengurus dana-dana tersebut,” kata Nurini.