Isnin, 14 September 2015

BERSEDIA MENGHADAPI TURUN NAIK DALAM PASARAN


 
Pelabur-pelabur dinasihatkan agar memperuntukkan sebahagian kecil portfolio bagi aktiviti jual beli runcit bagi menghadapi keadaan pasaran saham yang turun naik ketika ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kenanga Investors Bhd. (KIB), Ismitz Matthew De Alwis berkata, para pelabur juga disaran mengambil pendekatan jangka masa panjang apabila melakukan pelaburan kerana ia dapat membantu mereka menangani ketidaktentuan dan pergolakan pasaran saham ketika ini.

 

“Adalah penting bagi pelabur untuk meletakkan sebahagian besar portfolio dalam dana amanah saham untuk pelaburan jangka panjang kerana ia diuruskan oleh pengurus dana profesional dan kurang berisiko jika dibandingkan dengan saham,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

 

Menurut beliau, masalah besar bagi sesetengah pelabur adalah cepat bertindak mengikut emosi dengan menjual saham untuk te-rus keluar daripada pasaran.

 

“Kita sedia maklum pasaran saham ketika ini kurang kukuh namun jika mereka bertindak secara tergopoh-gapah dengan menjual saham-saham mereka, berkemungkinan besar ia akan merugikan.

 

“Satu daripada prinsip pelaburan ialah untuk membeli saham semasa harga rendah dan menjualnya ketika harga tinggi dan strategi terbaik pelaburan adalah untuk tidak panik dan selalu berfikiran rasional,” katanya.

 

Dalam pada itu Matthew berkata, jumlah aset di bawah pengurusan (AUM) KIB kini berjumlah RM6.7 bilion yang kebanyakannya adalah aliran dana baharu.

 

Beliau berkata, KIB akan terus memberi fokus terhadap inovasi dan pembangunan produk dengan memperkenalkan beberapa lagi produk baharu antaranya dana patuh syariah.

 

“Selain itu kami berhasrat untuk menambah satu lagi portfolio, khususnya tiga dana teras Syariah kepada kumpulan dana OnePRS, selaras dengan strategi kami untuk menawarkan pelbagai produk yang memberi manfaat kepada pelanggan,” katanya.